isi kandungan
tugasan: Seni kraf Melayu melambangkan
hubungan yang erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam. Bincangkan proses menggarap idea, mentafsir
idea dan memberi pengaruh makna kepada hasil seni yang berkonsepkan Islam.
INDEX
|
KANDUNGAN
|
MUKA SURAT
|
1.0
|
PENGENALAN
|
2
|
2.0
|
KESENIAN MELAYU
DAN KEPERCAYAAN
|
3
|
3.0
|
KRAF BATIK
|
4
|
4.0
|
KRAF UKIRAN
|
8
|
5.0
|
KRAF ANYAMAN
|
11
|
6.0
|
KRAF TENUNAN
|
13
|
7.0
|
KRAF TEMBIKAR
|
14
|
8.0
|
KESIMPULAN
|
17
|
9.0
|
LAMPIRAN : RUJUKAN
|
18
|
1.0 PENGENALAN
Kesenian
adalah merupakan suatu lambang kebudayaan dan harga diri sesuatu bangsa dan
negara. Budaya kebangsaan dikenali oleh
masyarakat umum di Malaysia sejak awal tahun 1940-an. Sebelum ini, budaya kebangsaan dikenali
sebagai adat istiadat sahaja. Sumbangan
daripada komunikasi dalam hubungan komunikasi seperti adat istiadat, rekreasi,
pekerjaan harian dan upacara tertentu telah mewujudkan pelbagai seni kraf
seperti seni tekat, seni tenunan songket, seni ukiran, seni batik dan
lain-lain.
Menurut Kamus Dewan (2012),
Kraf adaah perusahaan (kerja, seni, dsb) yg memerlukan kemahiran terutamanya
kemahiran menggunakan tangan; projek ini
diyakini akan memanfaatkan pencipta, peminat, pereka bentuk, penyelidik,
penuntut, dan pelawat; sesuatu hasian yg memerlukan (dihasilkan dgn) kemahiran
terutamanya kemahiran menggunakan tangan contoh seperti barangan tempatan dan
industri Malaysia.
“Keluaran Kraftangan"
ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau
tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata
atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran
batik; dan "keluaran batik" ertinya apa-apa barang, walau
bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana
bahagiannya.
(sumber: Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia 1979)
Tradisi pula bermaksud sesuatu kebiasaan (adat,
kepercayaan, dll) yg kekal turun-temurun, sesuatu yg sudah menjadi amalan yg
sudah sebati dgn sesuatu masyarakat, manakala masyarakat bermaksud kumpulan
manusia yg hidup bersama (di sesuatu tempat dgn aturan dan cara tertentu), dan
masyarakat baru merujuk kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat tersebut
yang biasanya merujuk kepada peningkatan nilai dan taraf sosialnya. (Kamus
Pelajar, 2012).
Kraf adalah sesuatu hasil
barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan samada dengan
menggunakan alat atau tanpa alat yang dijalankan sendiri secara kecil-kecilan
atau diusahakan secara besar-besaran.
Sementara tradisional pula bermaksud warisan atau pusaka yang
ditinggalkan dari satu generasi kepada generasi yang lain. Ia adalah
sesuatu yang dimiliki secara bersama iaitu tidak dimiliki oleh
individu-individu tertentu.
Kraf tradisional adalah
merupakan warisan bangsa yang dipusakai oleh tinggalan nenek moyang yang
diuruskan dari satu generasi ke generasi lain hinggalah kini. Hasil ciptaan kraf tradisional merupakan
suatu produk yang kaya dengan unsur budaya serta pengaruh yang menjadi lambang
kepercayaan sesuatu bangsa tersebut.
Unsur-unsur budaya tergambar melalui bentuk,
gaya, sifat, garis, gerak, dan warna.
Barangan kraf dihasilkan mengikut kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu
dengan menggunakan bahan yang tidak terhad.
Kebanyakan barangan kraf ini pada asalnya dihasilkan adalah untuk
kegunaan harian atau untuk sesuatu kerohanian.
Tetapi kini barangan kraf telah dipelbagaikan penghasilannya seperti
batik, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar dan sebagainya sebagai barangan
keperluan samada untuk dipakai, digunakan, cenderamata atau sebagai sumber
hiasan rumah, restoran dan sebagainya.
2.0
KESENIAN MELAYU DAN
KEPERCAYAAN
Seni Melayu ini
adalah penjelmaan unsur-unsur dari alam semula jadi kepada satu bentuk seni
rupa. Karya ini terhasil daripada pengamatan dan pemikiran penciptaannya boleh
dijelmakan melalui ilham, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di antara
manusia dan alam. Karya seni dalam kebudayaan Melayu juga mempunyai sifat yang
tersendiri, bukan sahaja berbeza dengan karya seni kebudayaan lain di dunia
tetapi juga berbeza dengan karya seni daripada kebudayaan kelompok yang
berhampiran dengannya.
Seni kraf Melayu
melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu
Islam. Setelah ribuan tahun orang Melayu menghuni alam Melayu dan menganut
kepercayaan tradisi Animisme dan Hindu, akhirnya mereka mula mengenali Islam
dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Sebahagian besar orang Melayu telah memeluk
agama Islam, sementara yang lain terus menganut tradisi lama. Sejak itu,
kepercayaan orang Melayu telah berubah. Mereka telah meninggalkan pemujaan
terhadap patung-patung dan tuhan-tuhan yang banyak. Mereka telah mengetahui dan
menyedari tentang keesaan tuhan yang sebenar. Mereka menganggap alam ini
sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan di dunia yang
sementara dan kehidupan abadi adalah di alam akhirat. Dari kesedaran inilah,
lahirnya ciptaan yang bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keperluan
kehidupan dunia yang amat rapat kaitannya dengan akhirat.
Kraf tradisional seperti batik, ukiran, anyaman, tenunan,
tembikar dan sebagainya adalah merupakan warisan negara yang diperturunkan oleh
nenek moyang dari satu generasi dahulu hinggalah generasi sekarang. Ia juga mempunyai nilai estetik yang tinggi
dan keistimewaannya sama taraf dengan seni budaya tamadun luar.
3.0
KRAF BATIK
Batik
merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15
Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional.
Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat
pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan pelbagai
alatan moden. Batik mula diperkenalkan di Malaysia khususnya di negeri Kelantan
sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan
Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula
bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik
yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di
Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan
Terengganu.
Motif adalah
corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik.
Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik
dan Motif Geometrik. Kedua-dua motif ini adalah cetusan daripada ilham si
pembuat bagaimana untuk menggarapkan motif ini supaya menjadi lebih menarik,
mempunyai keunikan tersendiri serta memberikan makna kepada si pemakai
batik.
Motif Organik
berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan,
dan haiwan. Contoh motif organik ialah ayam, pucuk rebung, bunga raya, bunga
padi, siput dan sebagainya. Bagi batik
sarung terdiri daripada beberapa bahagian seperti kepala kain, kaki kain, badan
kain dan pengapit kain. Susunan atau
rekaletak motif-motif ini akan
menunjukkan kesepaduan dan keharmonian berdasarkan corak batik.
Rupabentuk Kain Batik Sarung
|
Ragam motif Melayu mengandungi makna dan acuan falsafah
kepada sifat asal daripada setiap sumber alam dan disepadukan dengan nilai
kepercayaan serta nilai keluhuran agama Islam.
Makna dan falsafah terkandung dalam setiap ragam motif. Sebagai contoh motif pucuk rebung pada batik
sarung mempunyai nilai kemakmuran hidup dari segi fizikal dan rohani, murah
rezeki dan berkembang segala usaha, mewujudkan kehidupan yang aman dan
damai. Dari konsep Islam pula motif
pucuk rebung juga dikaitkan dengan motif geometri iaitu segitiga dimana
tapaknya adalah merupakan pentas dunia yang terdiri daripada benda hidup. Benda-benda hidup ini seharusnya berusaha
untuk mentaati kepada perintahNya dengan
mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Oleh sebab itu didalam motif pucuk rebung terdapat motif lain seperti
bunga yang bermaksud wangi, penyeri, kesatuan dalam kehidupan.
Motif bunga dan daun pada badan kain menunjukkan keharmonian
alam semulajadi yang menggambarkan masyarakat yang hidup dalam keadaan yang
aman dan damai. Titik-titik di sekitar
motif bunga dan daun pula adalah merupakan penyeri atau menceriakan hasil kraf
tersebut. Motif-motif lain seperti motif
bunga buluh, akar berpilin dan kembang setaman mencerminkan rasa persatuan dan
kesatuan, gotong-royong dan bertimbang rasa.
Sebenarnya dalam Islam, keadaan inilah yang sangat di galakkan ke atas
umatnya supaya hidup bersatu-padu, tolong-menolong dan bertimbang rasa antara
satu sama lain. Keadaan ini akan
membangkit kekuatan umat Islam dalam apa juga cabaran yang mendatang.
Motif Ayam
|
Motif Siput
|
Motif bunga buluh
|
Motif pucuk rebung
|
Motif bunga raya
|
Rajah
: contoh motif-motif organik
Di
Malaysia motif-motif lama yang dianggap pra-Islam telah diberikan makna baru
bersesuaian dengan ketauhidan dalam Islam. Elemen pepatungan boleh dikatakan
ditolak sama sekali dalam apa jua kesenian termasuk batik dan songket.
Sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia terhadap elemen pepatungan adalah amat
tinggi sehinggakan cubaan memasukkan unsur-unsur figuratif dalam bentuk khat
sekalipun pada era 60-an dan 70-an tidak bertahan lama dan tidak dapat diterima
oleh masyarakat Melayu Islam.
Rajah
: Dua contoh karya khat atau kaligrafi yang menggunakan elemen binatang. Gaya
ini agak terkenal sekitar 1960-an dan 1970-an namun kurang mendapat tempat di
hati umat Islam di Malaysia.
4.0
KRAF UKIRAN
Ukiran kayu tradisional adalah merupakan hasil
kreativiti seni orang-orang Melayu yang sangat unik dan dapat dilihat pada
binaan istana, masjid, rumah, kepala sampan, perabot serta barang-barang
keperluan harian. Ukiran bermaksud
membentuk pada suatu permukaan seperti kayu dengan menggunakan alat ukir
seperti pisau wali, “carving tool”.
Ukiran adalah merupakan tradisi Melayu yang terulung di Tanah Melayu. Faktor yang menyebabkan ia sebagai tradisi
terulung adalah disebabkan keadaan alam semulajadi dan kekayaan tumbuh-tumbuhan
yang memberikan ilham kepada pencipta untuk mewujudkan jenis-jenis bentuk dan
motif ukiran kayu.
Bentuk ukiran kayu Melayu mementingkan sifat gerak
yang bermula dari suatu punca dan terus timbul perlahan serta
berliku-liku. Biasanya ukiran mempunyai
imbangan di antara bahagian yang positif dan negatif. Bentuk motifnya terkawal dengan keadaan yang
sederhana dan tiada unsur yang berlebihan.
Terdapat pelbagai jenis ukiran iaitu layang,
tebukan tembus bersilat, tebukan tembus tanpa silat dan timbul.
Tebuk Tembus Tebuk Timbul
Dalam
menghasilkan seni ukiran terdapat berbagai motif dalam ragam hias orang
Melayu. Bentuk ini menitikberatkan unsur
tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan
sulurnya. Motif ukiran kayu orang Melayu
terbahagi kepada beberapa jenis iaitu Motif flora, sulur dan daun, tampuk
manggis, bunga teratai, daun keladi dan bunga sukun. Motif fauna, contohnya ayam, badak dan itik
(ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang) Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan
gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau. Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan
bentuk segitiga yang disusun berderet.
Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur
tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini
terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang
tembaga. Motif seni khat atau kaligrafi,
menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini
banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat
keagamaan seperti rehal dan sebagainya.
Pelbagai jenis kayu digunakan untuk menghasilkan
seni ukiran kayu yang berkualiti tinggi. Antaranya merbau, jati, jelutong,
cengal dan banyak lagi. Rumah tradisional Melayu, biasanya motif lebah bergayut
diterapkan pada “listplank” rumah iaitu bahagian yang berada di sebelah dalam cucuran
atap. Motif selembayung, sayap
layang-layang diterapkan pada ujung perabung dan ujung sudut cucuran atap. Pada bahagian pagar tingkap pula diterapkan
motif gasing-gasing ataupun pinang-pinang.
Rajah dibawah menunjukkan contoh motif-motif pada sebuah rumah
tradisional.
|
|
|
Rajah : Contoh motif-motif pada sebuah rumah
tradisional
Semua motif ini disusun dan digabungkan
menjadi corak yang sangat unik serta mempunyai nilai estetika yang tinggi. Selain daripada itu, motif-motif ini juga
memberikan makna yang tertentu dalam kepercayaan masyarakat Melayu yang boleh
digandingkan dalam konteks kepercayaan dalam Islam. Motif lebah bergayut melambangkan sesuatu
yang manis, ceria dan hidup dalam aman damai, bekerjasama serta saling membawa
rezeki antara satu sama lain. Dalam Islam ia menunjukkan barisan pertahanan
Islam yang kuat dan kukuh. Dalam barisan
atau saf sembanyang Islam menggalakkan umatnya berbaris dengan saf yang lurus. Motif Selembayung membangkitkan cahaya
rumah. Menurut kepercayaan Melayu, motif
ini melambangkan keserasian dalam
kehidupan berumah tangga. Motif ukiran
selembayung biasanya terdiri daripada daun-daun dan bunga yang melambangkan
perwujudan kasih sayang, adat dan jati diri.
Sebenarnya dalam Islam selembayung ini merupakan simbol kekuatan antara
hamba dengan penciptaNya. Idea yang
tersirat melalui jalinan motif tumbuhan seperti daun dan bunga ini juga boleh
diterjemah menurut Awhadi Kirmani r.a. , “Aku merenung wajah bentuk (surat)
dengan mata zahirku, sebab dalam bentuk ada bekas dari makna. Ini adalah alam bentuk dan kita semua dalam
bentuk-bentuk. Makna tidak boleh
dipandang kecuali melalui bentuk.”
Oleh itu,
seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata dalam pembinaan
rumah-rumah tradisional, malah mempunyai fungsi tersendiri yang mempunyai
kaitannya dengan kesenian Islam. Sebagai contoh hiasan seperti ukiran tebuk
digunakan di tempat-tempat pengaliran udara selain menjadi pemisah antara ruang
(pemidang). Setiap motif dalam pemidang
mempunyai falsafah dan makna yang tersendiri.
Namun,
seiring dengan peredaran zaman dan bagi memenuhi selera moden pelanggan, ramai
pengusaha memasukkan pelbagai elemen moden dalam ukiran yang terselit motif
yang berteraskan prinsip keIslaman, geometri, tumbuh-tumbuhan dan
kaligrafi. Antara hasil karya seni ukir
kayu yang mendapat sambutan ramai ialah pintu gerbang, panel dan skrin dinding,
sesiku keluang, pintu laman, pagar musang, sisir angin, alat permainan seperti
congkak, perabot, katil, kerusi, meja, hiasan rumah dan lain-lain yang
mempunyai nilai estiteka dan keunikan yang tersendiri serta mempunyai nilai
kormersial.
5.0
KRAF ANYAMAN
Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang
masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah
bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat
zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan
seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan
beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menjadi
penebat kepada pengaliran haba.
Seni anyaman
dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar. Penggunaan
tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman
yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas
tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan
kawasan di sekitar pesisir pantai.
Pelbagai
rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari
jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat
didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan,
kerja-kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka
rupa bentuk yang digunakan dalam kehidupan harian.
Rupa bentuk
anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah
tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk
anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh
masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan
hidup dan kegunaan seharian seperti bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji,
kembal (rombong) dan sebagainya.
Terdapat dua
ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan motif dan corak.
Kebiasaannya motif diperolehi daripada sumber alam yang
diilhamkan oleh tukang anyam. Gabungan
motif yang tersusun inilah menjadi corak yang boleh digarapkan menjadi suatu
nilai yang unik. Anyaman tanpa motif disebut sebagai "gadas".
Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam
semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang. Masyarakat Melayu di Malaysia biasanya menggunakan
bahan-bahan anyaman yang mempunyai motif yang tiada unsur haiwan kerana
kepercayaan terhadap Islam adalah tinggi.
Ini berbeza bagi masyarakat Melayu di Indonesia kerana mereka masih lagi
mengamalkan kepercayaan animisme dan Hindu.
Kelarai Bunga Cina
|
Kelarai Tampuk Manggis
|
Kelarai Mak Mek
|
Kelarai Cik Kedah
|
Rajah :
Contoh Kelarai pada Kraf Anyaman
|
Kesan anyaman
bagi motif bentuk bunga yang dibuat, lebih merupakan kesan asas geometri
seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.
Penyusunan motif/kelarai anyaman menunjukkan urutan dalam mempelajari ilmu
Islam tidak ada tempat perhentiannya.
Motif-motif juga boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang unik dan
mempunyai kesepaduan kesenian Islam dan Melayu.
Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya.
Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan
agar tidak ditelan peredaran zaman.
Begitulah juga dengan Islam, Islam merupakan agama yang syumul dan
merangkumi ruang lingkup kehidupan umatnya.
Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan
adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan
bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan
bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama. Begitulah juga dengan kesenian Islam,
walaupun dalam ragam hias seni dalam kraf anyaman setiap kelarai mempunyai
maksud yang tersendiri yang boleh dikaitkan dengan konsep dan kepercayaan dalam
Islam.
6.0
KRAF TENUNAN
Tenunan merupakan
seni tekstil yang terkenal di Malaysia.
Hasil tenunan yang pelbagai, halus dan tinggi kualitinya menggambarkan
kreativiti dan kemahiran pembuat hasil tenunannya. Perusahaan tenunan banyak terdapat di negeri
Kelantan, Trengganu dan Pahang. Tenunan
dihasilkan daripada jalinan benang loseng dengan benang pakan. Tenunan songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan
mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan
songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun
menggunakan benang emas
dan perak.
Dari segi
sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan
orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika
itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah
terkenal di Malaysia
dan Indonesia
sejak abad ke-13 yang lampau. Songket
mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain
mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan
kedudukan seseorang.
Corak dan
motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan
sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran
yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Terdapat tiga jenis motif dalam ragam
hias songket iaitu motif flora, fauna dan geometri. Struktur ragam hias songket disusun dalam
tiga keadaan iaitu kepala kain, badan kain dan kaki kain. Kepala kain biasanya menggunakan motif pucuk
rebung dan lawi ayam. Badan kain diletakkan
motif bebas sementara kaki kain dihiasi dengan motif pucuk rebung dan bunga
tanjung yang disusun secara berbaris melintang serta diapit oleh tali air
secara berlapis. Namun demikian
penghasilan motif seperti lawi ayam atau mana-mana motif yang berunsurkan
haiwan tidak berapa digemari oleh masyarakat Melayu Islam. Ini menunjukkan rupa figura atau binatang
yang sebenar adalah tidak dibenarkan atau diharamkan. Tiada gambaran tentang rupa manusia atau
haiwan sebenarnya dalam ragam hias kraf membuktikan bahawa seni kraf Melayu
adalah lambang seni Islam.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan
industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap
yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis
perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding. Peningkatan kos penghasilan sutera, benang
emas dan perak serta perubahan fesyen dan gaya sedikit sebanyak mempengaruhi
industri songket pada awal pertengahan abad ke-20. Ragam hias yang dipelbagaikan dengan gabungan motif bercorak flora dan
geometri membuktikan bahawa kraf tenunan songket mempunyai ketekalan lambang
seni Islam yang begitu utuh dalam masyarakat Melayu di Malaysia.
7.0
KRAF TEMBIKAR
Rajah : Contoh hasilan
kraf tembikar
Dalam
perkembangan kebudayaan benda di dunia, bahan tanah liat telah lama menjadi
media penghasilan keperluan hidup dan juga penyataan ekspresif kepada
masyarakat. Penghasilan seni tembikar
yang mengaplikasikan media tanah liat sebagai media bahantara merupakan salah
satu seni yang tertua di dunia selepas penggunaan media batu. Penggunaan bahan tanah liat dalam masyarakat
Malaysia telah mula dikesan sejak dari zaman Neolitik lagi.
Menurut
Adi Taha (2000), tembikar merupakan satu unsur penting dalam memahami dan
mengetahui perkembangan sejarah kebudayaan masyarakat kerana ianya melambangkan
keupayaan manusia masa prasejarah menembusi satu kaedah pembuatan dan
pengeluaran atau teknologi bagi kesejahteraan masyarakat tersebut.
Seni tembikar telah wujud di Malaysia sejak beribu tahun
dahulu yang digunakan sebagai kegunaan harian, upacara keagamaan dan upacara
kematian. Bukti penemuan artifak ini
telah dijumpai di Lembah Bujang, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Pahang, Sabah dan
Sarawak. Barangan tembikar yang
dihasilkan di negeri-negeri ini mempunyai perbezaan dari segi reka corak,
bentuk dan warnanya kerana setiap negeri mempunyai teknik pembuatan tradisinya
yang tersendiri serta dipengaruhi oleh budaya dan latar bekalang si pembuat
tembikar.
Bentuk tembikar yang dijumpai mempunyai persamaan dari segi
susunan motif, ketebalan dan dibuat melalui teknik pembakaran bersuhu rendah
yang berwarna coklat, hitam dan kelabu gelap.
Di Malaysia, hasil
seni tembikar yang paling terkenal ialah labu Sayong dan pasu Sarawak yang juga
merupakan kraf kebanggaan negara dan telah terkenal di seluruh dunia.
Dalam kraf
tembikar, labu hitam adalah merupakan sumber ilham daripada alam semulajadi
dimana buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan
bekas untuk menyimpan air. Keistimewaan
labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa
jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas
air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.
Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif flora seperti motif bunga
padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang
harmoni. Ada juga yang menampilkan seni
khat/arabes pada tembikar. Namun
demikian selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu telah mula sedar dan tidak
lagi memilih motif tembikar yang mempunyai tulisan arabes yang mengandungi
ayat-ayat al-quran kerana ayat suci tersebut perlu dipelihara. Tidak boleh diletakkan dibawah tangga, perlu
diletakkan di tempat yang atas, tidak boleh dilangkah dan sebagainya. Oleh itu pembuat tembikar biasanya meletakkan
motif flora pada tembikar mereka. Rajah
menunjukkan contoh-contoh motif flora.
Rajah : Motif Bunga Padi, Bunga
Tanjung dan Bunga Cengkih
Motif berbentuk bunga seperti bunga tanjung dan bunga cengkih
boleh ditafsirkan sebagai suatu kesatuan samada dalam kepercayaan adat Melayu
mahupun dalam kepercayaan Islam. Percantuman
antara kuntuman bunga menghasilkan suatu kesatuan yang memberikan makna dan
fungsi iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t.
Selain daripada itu, ia juga menunjukkan sifat kasih-sayang,
hormat-menghormati, lemah-lembut dan suci hati.
Motif bunga padi pula menujukkkan “mengikut resmi padi, makin berisi
makin tunduk” membawa maksud semakin tinggi pangkat, harta dan ilmu seseorang,
semakin insaf dan tunduk patuh kepada perintah Allah s.w.t. Walau dimana ia berada “dimana bumi di pijak,
disitu langit dijunjung”.
Pengaruh
Islam dalam masyarakat mula berkembang dan unsur-unsur tauhid dalam Islam
diterapkan dalam penghasilan barangan tembikar mereka. Pegangan kuat pada ajaran Islam sebenarnya
telah turut mengembangkan lagi proses kreativiti dalam penghasilan tembikar.
Menurut
Jumaat Mohd Noor (1992), mereka telah meninggalkan pemujaan terhadap
patung-patung dan tuhan–tuhan yang banyak.
Mereka telah dapat membezakan ketuhanan dengan maujudan. Mereka
menanggap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan
kehidupan yang sementara didunia dan di akhirat adalah tempat yang kekal. Dari tanggapan inilah lahirnya
ciptaan–ciptaan yang bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keseriaan di
dunia dan akhirat.
Kini tembikar
dipelbagaikan lagi fungsinya selain daripada untuk menyimpan air, ia juga
dijadikan sebagai lampu sisi, bekas payung, pasu bunga, bekas pot puri, tempat
habuk rokok dan sebagainya. Tembikar masih mempunyai nilai estetik dalam ragam
hiasnya dan keunikan kesenian Islam.
8.0
RUMUSAN
Kebudayaan dan kesenian Islam boleh ditemui di mana sahaja
masyarakat Islam berada. Seni Islam
adalah media untuk menyampaikan perutusan Allah s.w.t kepada manusia sejagat
dan pengabdian diri manusia kepadaNya.
Bidang-bidang kraf Melayu seperti batik, ukiran, anyaman, tenunan,
tembikar dan sebagainya telah dirancang motifnya membentuk ragam hias dan
mempunyai nilai-nilai estetika dengan penelitian makna mengikut lunas-lunas
batasan agama Islam. Ia juga menunjukkan
kesan pengaruh Islam di Alam Melayu ini lahir secara spontan. Secara tidak langsung, ia memperlihatkan
kecemerlangan kesenian Kraf Melayu dengan kepercayaan Islam dari segi bentuk pemikiran, disulami
dengan akhlak-akhlak yang mulia dan terpuji serta memancarkan ketinggian
tamadun Islam itu sendiri.
LAMPIRAN
RUJUKAN
Adi
Taha. (2000) Tembikar Prasejarah Di Malaysia : Satu survey, Kertas kerja
Seminar Tembikar dari Warisan ke Wawasan. Shah Alam: Muzium Sultan Alam Shah.
Jumaat
bin Mohd Noor dalam Syed Ahmad Jamal. (1992) Rupa dan Jiwa, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus
Dewan (2012). Pusat Rujukan Persuratan Melayu , Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Khairuddin
Talib (2011). HBAE3103 Kraf Tradisional,
Selangor Darul Ehsan : OUM
N.A.
Halim. (1981) dalam Achmad Sopandi (2003) Lukisan Gua di Malaysia, Kuala
Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.
Noor Sham Abdul Hamit & et.all (2008). Pra-U Teks dan
rujukan lengkap Sejarah kertas 1, Selangor Darul Ehsan : Arah
Pendidikan Sdn. Bhd.
Syed
Ahmad Jamal (1992). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Zuraina
Majid. (2003) Archaeology in Malaysia, Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan
Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia.
lp
BalasPadamkomen
BalasPadam