Ahad, 8 Oktober 2017

Seni Kraf Melayu

isi kandungan
 


tugasan:  Seni kraf Melayu melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam.   Bincangkan proses menggarap idea, mentafsir idea dan memberi pengaruh makna kepada hasil seni yang berkonsepkan Islam.
 


INDEX
KANDUNGAN
MUKA SURAT
1.0
PENGENALAN
2
2.0
KESENIAN MELAYU DAN KEPERCAYAAN
3
3.0
KRAF BATIK
4
4.0
KRAF UKIRAN
8
5.0
KRAF ANYAMAN
11
6.0
KRAF TENUNAN
13
7.0
KRAF TEMBIKAR
14
8.0
KESIMPULAN
17
9.0
LAMPIRAN :  RUJUKAN
18



1.0    PENGENALAN

Kesenian adalah merupakan suatu lambang kebudayaan dan harga diri sesuatu bangsa dan negara.  Budaya kebangsaan dikenali oleh masyarakat umum di Malaysia sejak awal tahun 1940-an.  Sebelum ini, budaya kebangsaan dikenali sebagai adat istiadat sahaja.  Sumbangan daripada komunikasi dalam hubungan komunikasi seperti adat istiadat, rekreasi, pekerjaan harian dan upacara tertentu telah mewujudkan pelbagai seni kraf seperti seni tekat, seni tenunan songket, seni ukiran, seni batik dan lain-lain.
Menurut Kamus Dewan (2012), Kraf adaah perusahaan (kerja, seni, dsb) yg memer­lukan kemahiran terutamanya kemahiran menggunakan tangan;  projek ini diyakini akan memanfaatkan pencipta, peminat, pereka bentuk, penyelidik, penuntut, dan pelawat; sesuatu hasian yg memerlukan (dihasilkan dgn) kemahir­an terutamanya kemahiran menggunakan tangan contoh seperti barangan tempatan dan industri Malaysia.
“Keluaran Kraftangan" ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik; dan "keluaran batik" ertinya apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.
(sumber: Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979)
Tradisi  pula bermaksud sesuatu kebiasaan (adat, kepercayaan, dll) yg kekal turun-temurun, sesuatu yg sudah menjadi amalan yg sudah sebati dgn sesuatu masyarakat, manakala masyarakat bermaksud kumpulan manusia yg hidup bersama (di sesuatu tempat dgn aturan dan cara tertentu), dan masyarakat baru merujuk kepada perubahan yang berlaku dalam masyarakat tersebut yang biasanya merujuk kepada peningkatan nilai dan taraf sosialnya. (Kamus Pelajar, 2012).
Kraf adalah sesuatu hasil barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan samada dengan menggunakan alat atau tanpa alat yang dijalankan sendiri secara kecil-kecilan atau diusahakan secara besar-besaran.  Sementara tradisional pula bermaksud warisan atau pusaka yang ditinggalkan dari satu generasi kepada generasi yang lain.  Ia adalah  sesuatu yang dimiliki secara bersama iaitu tidak dimiliki oleh individu-individu tertentu.
Kraf tradisional adalah merupakan warisan bangsa yang dipusakai oleh tinggalan nenek moyang yang diuruskan dari satu generasi ke generasi lain hinggalah kini.  Hasil ciptaan kraf tradisional merupakan suatu produk yang kaya dengan unsur budaya serta pengaruh yang menjadi lambang kepercayaan sesuatu bangsa tersebut.   Unsur-unsur budaya tergambar melalui bentuk, gaya, sifat, garis, gerak, dan warna.  Barangan kraf dihasilkan mengikut kaedah reka bentuk dan hiasan tertentu dengan menggunakan bahan yang tidak terhad.  Kebanyakan barangan kraf ini pada asalnya dihasilkan adalah untuk kegunaan harian atau untuk sesuatu kerohanian.  Tetapi kini barangan kraf telah dipelbagaikan penghasilannya seperti batik, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar dan sebagainya sebagai barangan keperluan samada untuk dipakai, digunakan, cenderamata atau sebagai sumber hiasan rumah, restoran dan sebagainya.
2.0    KESENIAN MELAYU DAN KEPERCAYAAN
Seni Melayu ini adalah penjelmaan unsur-unsur dari alam semula jadi kepada satu bentuk seni rupa. Karya ini terhasil daripada pengamatan dan pemikiran penciptaannya boleh dijelmakan melalui ilham, seterusnya mencerminkan suasana harmoni di antara manusia dan alam. Karya seni dalam kebudayaan Melayu juga mempunyai sifat yang tersendiri, bukan sahaja berbeza dengan karya seni kebudayaan lain di dunia tetapi juga berbeza dengan karya seni daripada kebudayaan kelompok yang berhampiran dengannya.

Seni kraf Melayu melambangkan hubungan yang erat antara orang Melayu dengan kepercayaannya iaitu Islam. Setelah ribuan tahun orang Melayu menghuni alam Melayu dan menganut kepercayaan tradisi Animisme dan Hindu, akhirnya mereka mula mengenali Islam dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Sebahagian besar orang Melayu telah memeluk agama Islam, sementara yang lain terus menganut tradisi lama. Sejak itu, kepercayaan orang Melayu telah berubah. Mereka telah meninggalkan pemujaan terhadap patung-patung dan tuhan-tuhan yang banyak. Mereka telah mengetahui dan menyedari tentang keesaan tuhan yang sebenar. Mereka menganggap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan di dunia yang sementara dan kehidupan abadi adalah di alam akhirat. Dari kesedaran inilah, lahirnya ciptaan yang bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keperluan kehidupan dunia yang amat rapat kaitannya dengan akhirat.
Kraf tradisional seperti batik, ukiran, anyaman, tenunan, tembikar dan sebagainya adalah merupakan warisan negara yang diperturunkan oleh nenek moyang dari satu generasi dahulu hinggalah generasi sekarang.  Ia juga mempunyai nilai estetik yang tinggi dan keistimewaannya sama taraf dengan seni budaya tamadun luar.

3.0    KRAF BATIK

Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan pelbagai alatan moden. Batik mula diperkenalkan di Malaysia khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.
Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Kedua-dua motif ini adalah cetusan daripada ilham si pembuat bagaimana untuk menggarapkan motif ini supaya menjadi lebih menarik, mempunyai keunikan tersendiri serta memberikan makna kepada si pemakai batik. 

Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan. Contoh motif organik ialah ayam, pucuk rebung, bunga raya, bunga padi, siput dan sebagainya.  Bagi batik sarung terdiri daripada beberapa bahagian seperti kepala kain, kaki kain, badan kain dan pengapit kain.  Susunan atau rekaletak motif-motif  ini akan menunjukkan kesepaduan dan keharmonian berdasarkan corak batik.
http://malaysiana.pnm.my/04/images04/Rupabentuk%20kain%20sarung.gif
Rupabentuk Kain Batik Sarung

Ragam motif Melayu mengandungi makna dan acuan falsafah kepada sifat asal daripada setiap sumber alam dan disepadukan dengan nilai kepercayaan serta nilai keluhuran agama Islam.  Makna dan falsafah terkandung dalam setiap ragam motif.  Sebagai contoh motif pucuk rebung pada batik sarung mempunyai nilai kemakmuran hidup dari segi fizikal dan rohani, murah rezeki dan berkembang segala usaha, mewujudkan kehidupan yang aman dan damai.  Dari konsep Islam pula motif pucuk rebung juga dikaitkan dengan motif geometri iaitu segitiga dimana tapaknya adalah merupakan pentas dunia yang terdiri daripada benda hidup.  Benda-benda hidup ini seharusnya berusaha untuk mentaati kepada perintahNya dengan  mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.  Oleh sebab itu didalam motif pucuk rebung terdapat motif lain seperti bunga yang bermaksud wangi, penyeri, kesatuan dalam kehidupan. 

Motif bunga dan daun pada badan kain menunjukkan keharmonian alam semulajadi yang menggambarkan masyarakat yang hidup dalam keadaan yang aman dan damai.  Titik-titik di sekitar motif bunga dan daun pula adalah merupakan penyeri atau menceriakan hasil kraf tersebut.  Motif-motif lain seperti motif bunga buluh, akar berpilin dan kembang setaman mencerminkan rasa persatuan dan kesatuan, gotong-royong dan bertimbang rasa.  Sebenarnya dalam Islam, keadaan inilah yang sangat di galakkan ke atas umatnya supaya hidup bersatu-padu, tolong-menolong dan bertimbang rasa antara satu sama lain.  Keadaan ini akan membangkit kekuatan umat Islam dalam apa juga cabaran yang mendatang.


http://malaysiana.pnm.my/04/images04/Batik%20-%20motif%20ayam.gif
http://malaysiana.pnm.my/04/images04/Batik%20-%20motif%20siput.gif
Motif Ayam
Motif Siput
                                                          
http://malaysiana.pnm.my/04/images04/Batik%20-%20motif%20Bunga%20buluh.gif
http://malaysiana.pnm.my/04/images04/batik%20-%20motif%20pucuk%20rebung.gif
http://malaysiana.pnm.my/04/images04/batik-motif%20bunga%20raya.gif
Motif bunga buluh
Motif pucuk rebung
Motif bunga raya
Rajah :  contoh motif-motif organik

Di Malaysia motif-motif lama yang dianggap pra-Islam telah diberikan makna baru bersesuaian dengan ketauhidan dalam Islam. Elemen pepatungan boleh dikatakan ditolak sama sekali dalam apa jua kesenian termasuk batik dan songket. Sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia terhadap elemen pepatungan adalah amat tinggi sehinggakan cubaan memasukkan unsur-unsur figuratif dalam bentuk khat sekalipun pada era 60-an dan 70-an tidak bertahan lama dan tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu Islam.
Rajah :  Dua contoh karya khat atau kaligrafi yang menggunakan elemen binatang. Gaya ini agak terkenal sekitar 1960-an dan 1970-an namun kurang mendapat tempat di hati umat Islam di Malaysia.




4.0    KRAF UKIRAN

Ukiran kayu tradisional adalah merupakan hasil kreativiti seni orang-orang Melayu yang sangat unik dan dapat dilihat pada binaan istana, masjid, rumah, kepala sampan, perabot serta barang-barang keperluan harian.  Ukiran bermaksud membentuk pada suatu permukaan seperti kayu dengan menggunakan alat ukir seperti pisau wali, “carving tool”.  Ukiran adalah merupakan tradisi Melayu yang terulung di Tanah Melayu.  Faktor yang menyebabkan ia sebagai tradisi terulung adalah disebabkan keadaan alam semulajadi dan kekayaan tumbuh-tumbuhan yang memberikan ilham kepada pencipta untuk mewujudkan jenis-jenis bentuk dan motif ukiran kayu. 
Bentuk ukiran kayu Melayu mementingkan sifat gerak yang bermula dari suatu punca dan terus timbul perlahan serta berliku-liku.  Biasanya ukiran mempunyai imbangan di antara bahagian yang positif dan negatif.  Bentuk motifnya terkawal dengan keadaan yang sederhana dan tiada unsur yang berlebihan. 
Terdapat pelbagai jenis ukiran iaitu layang, tebukan tembus bersilat, tebukan tembus tanpa silat dan timbul. 
        
Tebuk Tembus                        Tebuk Timbul
Dalam menghasilkan seni ukiran terdapat berbagai motif dalam ragam hias orang Melayu.  Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.  Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis iaitu Motif flora, sulur dan daun, tampuk manggis, bunga teratai, daun keladi dan bunga sukun.  Motif fauna, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)  Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau.  Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet.  Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan.   Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.  Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal dan sebagainya.

Pelbagai jenis kayu digunakan untuk menghasilkan seni ukiran kayu yang berkualiti tinggi. Antaranya merbau, jati, jelutong, cengal dan banyak lagi.  Rumah tradisional Melayu, biasanya motif lebah bergayut diterapkan pada “listplank” rumah iaitu bahagian yang berada di sebelah dalam cucuran atap.  Motif selembayung, sayap layang-layang diterapkan pada ujung perabung dan ujung sudut cucuran atap.  Pada bahagian pagar tingkap pula diterapkan motif gasing-gasing ataupun pinang-pinang.  Rajah dibawah menunjukkan contoh motif-motif pada sebuah rumah tradisional.

Motif lebah bergayut
 

Motif gasing-gasing atau pinang-pinang
 

Motif selembayung
 
motif lebah bergayut.jpgselembayung.png
Rajah :  Contoh motif-motif pada sebuah rumah tradisional

Semua motif ini disusun dan digabungkan menjadi corak yang sangat unik serta mempunyai nilai estetika yang tinggi.  Selain daripada itu, motif-motif ini juga memberikan makna yang tertentu dalam kepercayaan masyarakat Melayu yang boleh digandingkan dalam konteks kepercayaan dalam Islam.  Motif lebah bergayut melambangkan sesuatu yang manis, ceria dan hidup dalam aman damai, bekerjasama serta saling membawa rezeki antara satu sama lain. Dalam Islam ia menunjukkan barisan pertahanan Islam yang kuat dan kukuh.  Dalam barisan atau saf sembanyang Islam menggalakkan umatnya berbaris dengan saf yang lurus.  Motif Selembayung membangkitkan cahaya rumah.  Menurut kepercayaan Melayu, motif ini  melambangkan keserasian dalam kehidupan berumah tangga.  Motif ukiran selembayung biasanya terdiri daripada daun-daun dan bunga yang melambangkan perwujudan kasih sayang, adat dan jati diri.  Sebenarnya dalam Islam selembayung ini merupakan simbol kekuatan antara hamba dengan penciptaNya.  Idea yang tersirat melalui jalinan motif tumbuhan seperti daun dan bunga ini juga boleh diterjemah menurut Awhadi Kirmani r.a. , “Aku merenung wajah bentuk (surat) dengan mata zahirku, sebab dalam bentuk ada bekas dari makna.  Ini adalah alam bentuk dan kita semua dalam bentuk-bentuk.  Makna tidak boleh dipandang kecuali melalui bentuk.”

Oleh itu, seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, malah mempunyai fungsi tersendiri yang mempunyai kaitannya dengan kesenian Islam. Sebagai contoh hiasan seperti ukiran tebuk digunakan di tempat-tempat pengaliran udara selain menjadi pemisah antara ruang (pemidang).  Setiap motif dalam pemidang mempunyai falsafah dan makna yang tersendiri. 

Namun, seiring dengan peredaran zaman dan bagi memenuhi selera moden pelanggan, ramai pengusaha memasukkan pelbagai elemen moden dalam ukiran yang terselit motif yang berteraskan prinsip keIslaman, geometri, tumbuh-tumbuhan dan kaligrafi.  Antara hasil karya seni ukir kayu yang mendapat sambutan ramai ialah pintu gerbang, panel dan skrin dinding, sesiku keluang, pintu laman, pagar musang, sisir angin, alat permainan seperti congkak, perabot, katil, kerusi, meja, hiasan rumah dan lain-lain yang mempunyai nilai estiteka dan keunikan yang tersendiri serta mempunyai nilai kormersial.






5.0    KRAF ANYAMAN

Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menjadi penebat kepada pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar. Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di sekitar pesisir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan dalam kehidupan harian.

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian seperti bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan motif dan corak. Kebiasaannya  motif  diperolehi daripada sumber alam yang diilhamkan oleh tukang anyam.  Gabungan motif yang tersusun inilah menjadi corak yang boleh digarapkan menjadi suatu nilai yang unik. Anyaman tanpa motif disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.   Masyarakat Melayu di Malaysia biasanya menggunakan bahan-bahan anyaman yang mempunyai motif yang tiada unsur haiwan kerana kepercayaan terhadap Islam adalah tinggi.  Ini berbeza bagi masyarakat Melayu di Indonesia kerana mereka masih lagi mengamalkan kepercayaan animisme dan Hindu. 





Kelarai Bunga Cina
Kelarai Tampuk Manggis
Kelarai Mak Mek
Kelarai Cik Kedah
Rajah :  Contoh Kelarai pada Kraf Anyaman

Kesan anyaman bagi motif bentuk bunga yang dibuat, lebih merupakan kesan asas geometri seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi. Penyusunan motif/kelarai anyaman menunjukkan urutan dalam mempelajari ilmu Islam tidak ada tempat perhentiannya.  Motif-motif juga boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang unik dan mempunyai kesepaduan kesenian Islam dan Melayu.  Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan peredaran zaman.  Begitulah juga dengan Islam, Islam merupakan agama yang syumul dan merangkumi ruang lingkup kehidupan umatnya.  Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.  Begitulah juga dengan kesenian Islam, walaupun dalam ragam hias seni dalam kraf anyaman setiap kelarai mempunyai maksud yang tersendiri yang boleh dikaitkan dengan konsep dan kepercayaan dalam Islam. 

6.0    KRAF TENUNAN

Tenunan merupakan seni tekstil yang terkenal di Malaysia.  Hasil tenunan yang pelbagai, halus dan tinggi kualitinya menggambarkan kreativiti dan kemahiran pembuat hasil tenunannya.  Perusahaan tenunan banyak terdapat di negeri Kelantan, Trengganu dan Pahang.  Tenunan dihasilkan daripada jalinan benang loseng dengan benang pakan.  Tenunan songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak.

Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.  Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Terdapat tiga jenis motif dalam ragam hias songket iaitu motif flora, fauna dan geometri.  Struktur ragam hias songket disusun dalam tiga keadaan iaitu kepala kain, badan kain dan kaki kain.  Kepala kain biasanya menggunakan motif pucuk rebung dan lawi ayam.  Badan kain diletakkan motif bebas sementara kaki kain dihiasi dengan motif pucuk rebung dan bunga tanjung yang disusun secara berbaris melintang serta diapit oleh tali air secara berlapis.  Namun demikian penghasilan motif seperti lawi ayam atau mana-mana motif yang berunsurkan haiwan tidak berapa digemari oleh masyarakat Melayu Islam.  Ini menunjukkan rupa figura atau binatang yang sebenar adalah tidak dibenarkan atau diharamkan.  Tiada gambaran tentang rupa manusia atau haiwan sebenarnya dalam ragam hias kraf membuktikan bahawa seni kraf Melayu adalah lambang seni Islam.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding.  Peningkatan kos penghasilan sutera, benang emas dan perak serta perubahan fesyen dan gaya sedikit sebanyak mempengaruhi industri songket pada awal pertengahan abad ke-20.  Ragam hias yang dipelbagaikan  dengan gabungan motif bercorak flora dan geometri membuktikan bahawa kraf tenunan songket mempunyai ketekalan lambang seni Islam yang begitu utuh dalam masyarakat Melayu di Malaysia.
7.0    KRAF TEMBIKAR
Rajah :  Contoh hasilan kraf tembikar

Dalam perkembangan kebudayaan benda di dunia, bahan tanah liat telah lama menjadi media penghasilan keperluan hidup dan juga penyataan ekspresif kepada masyarakat.  Penghasilan seni tembikar yang mengaplikasikan media tanah liat sebagai media bahantara merupakan salah satu seni yang tertua di dunia selepas penggunaan media batu.  Penggunaan bahan tanah liat dalam masyarakat Malaysia telah mula dikesan sejak dari zaman Neolitik lagi.
Menurut Adi Taha (2000), tembikar merupakan satu unsur penting dalam memahami dan mengetahui perkembangan sejarah kebudayaan masyarakat kerana ianya melambangkan keupayaan manusia masa prasejarah menembusi satu kaedah pembuatan dan pengeluaran atau teknologi bagi kesejahteraan masyarakat tersebut.

Seni tembikar telah wujud di Malaysia sejak beribu tahun dahulu yang digunakan sebagai kegunaan harian, upacara keagamaan dan upacara kematian.  Bukti penemuan artifak ini telah dijumpai di Lembah Bujang, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Pahang, Sabah dan Sarawak.  Barangan tembikar yang dihasilkan di negeri-negeri ini mempunyai perbezaan dari segi reka corak, bentuk dan warnanya kerana setiap negeri mempunyai teknik pembuatan tradisinya yang tersendiri serta dipengaruhi oleh budaya dan latar bekalang si pembuat tembikar.

Bentuk tembikar yang dijumpai mempunyai persamaan dari segi susunan motif, ketebalan dan dibuat melalui teknik pembakaran bersuhu rendah yang berwarna coklat, hitam dan kelabu gelap.  Di Malaysia, hasil seni tembikar yang paling terkenal ialah labu Sayong dan pasu Sarawak yang juga merupakan kraf kebanggaan negara dan telah terkenal di seluruh dunia.

Dalam kraf tembikar, labu hitam adalah merupakan sumber ilham daripada alam semulajadi dimana buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.  Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.  Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif flora seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.  Ada juga yang menampilkan seni khat/arabes pada tembikar.  Namun demikian selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu telah mula sedar dan tidak lagi memilih motif tembikar yang mempunyai tulisan arabes yang mengandungi ayat-ayat al-quran kerana ayat suci tersebut perlu dipelihara.  Tidak boleh diletakkan dibawah tangga, perlu diletakkan di tempat yang atas, tidak boleh dilangkah dan sebagainya.  Oleh itu pembuat tembikar biasanya meletakkan motif flora pada tembikar mereka.  Rajah menunjukkan contoh-contoh motif flora.
Rajah :  Motif Bunga Padi, Bunga Tanjung dan  Bunga Cengkih

Motif berbentuk bunga seperti bunga tanjung dan bunga cengkih boleh ditafsirkan sebagai suatu kesatuan samada dalam kepercayaan adat Melayu mahupun dalam kepercayaan Islam.  Percantuman antara kuntuman bunga menghasilkan suatu kesatuan yang memberikan makna dan fungsi iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t.  Selain daripada itu, ia juga menunjukkan sifat kasih-sayang, hormat-menghormati, lemah-lembut dan suci hati.  Motif bunga padi pula menujukkkan “mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk” membawa maksud semakin tinggi pangkat, harta dan ilmu seseorang, semakin insaf dan tunduk patuh kepada perintah Allah s.w.t.  Walau dimana ia berada “dimana bumi di pijak, disitu langit dijunjung”.

Pengaruh Islam dalam masyarakat mula berkembang dan unsur-unsur tauhid dalam Islam diterapkan dalam penghasilan barangan tembikar mereka.   Pegangan kuat pada ajaran Islam sebenarnya telah turut mengembangkan lagi proses kreativiti dalam penghasilan tembikar.

Menurut Jumaat Mohd Noor (1992), mereka telah meninggalkan pemujaan terhadap patung-patung dan tuhan–tuhan yang banyak.  Mereka telah dapat membezakan ketuhanan dengan maujudan. Mereka menanggap alam ini sebagai suatu hiasan yang berfungsi untuk menyerikan kehidupan yang sementara didunia dan di akhirat adalah tempat yang kekal.  Dari tanggapan inilah lahirnya ciptaan–ciptaan yang bukan sahaja sebagai fungsi tetapi memenuhi keseriaan di dunia dan akhirat.
Kini tembikar dipelbagaikan lagi fungsinya selain daripada untuk menyimpan air, ia juga dijadikan sebagai lampu sisi, bekas payung, pasu bunga, bekas pot puri, tempat habuk rokok dan sebagainya.  Tembikar masih mempunyai nilai estetik dalam ragam hiasnya dan keunikan kesenian Islam.

8.0    RUMUSAN

Kebudayaan dan kesenian Islam boleh ditemui di mana sahaja masyarakat Islam berada.  Seni Islam adalah media untuk menyampaikan perutusan Allah s.w.t kepada manusia sejagat dan pengabdian diri manusia kepadaNya.  Bidang-bidang kraf Melayu seperti batik, ukiran, anyaman, tenunan, tembikar dan sebagainya telah dirancang motifnya membentuk ragam hias dan mempunyai nilai-nilai estetika dengan penelitian makna mengikut lunas-lunas batasan agama Islam.  Ia juga menunjukkan kesan pengaruh Islam di Alam Melayu ini lahir secara spontan.  Secara tidak langsung, ia memperlihatkan kecemerlangan kesenian Kraf Melayu dengan kepercayaan  Islam dari segi bentuk pemikiran, disulami dengan akhlak-akhlak yang mulia dan terpuji serta memancarkan ketinggian tamadun Islam itu sendiri.














LAMPIRAN

RUJUKAN
Adi Taha. (2000) Tembikar Prasejarah Di Malaysia : Satu survey, Kertas kerja Seminar Tembikar dari Warisan ke Wawasan. Shah Alam: Muzium Sultan Alam Shah.
Jumaat bin Mohd Noor dalam Syed Ahmad Jamal. (1992) Rupa dan Jiwa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan (2012). Pusat Rujukan Persuratan Melayu , Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khairuddin Talib (2011). HBAE3103 Kraf Tradisional, Selangor Darul Ehsan : OUM
N.A. Halim. (1981) dalam Achmad Sopandi (2003) Lukisan Gua di Malaysia, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.
Noor Sham Abdul Hamit & et.all (2008). Pra-U Teks dan rujukan lengkap Sejarah kertas 1, Selangor Darul Ehsan  :  Arah Pendidikan Sdn. Bhd.
Syed Ahmad Jamal (1992). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zuraina Majid. (2003) Archaeology in Malaysia, Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia.